Somehow rasa macam hari ini serba tak kena walaupun semuanya terletak. Hati bagai tak lepa duduk diam. Tak juga berdebar sekuatnya meretakkan tulang rusuk. Tapi bagaikan menunggu tiupan sangkakala — sesuatu yang sangat pasti tiba. Dan menggerunkan.

Naqi sudah sedia menunggu. Turun dari tangga bangunan pejabat, Naqi melambai ke arahnya dan jari-jari di tangan sebelah memegang rokok yang telah dinyalakan. Senyumannya sentiasa ada untuk Arissa — senyuman itulah kepunyaan Arissa, tak pernah dihadiahkan kepada sesiapa.

Seperti biasa, bersembang sambil minum petang sebelum Naqi menghantar Arissa pulang. Layanan Naqi tetap sama, dimanjakan Arissa dan ditatang. Semuanya biar siap dan tersusun. Tak perlu Arissa dipayahkan untuk apa-apa. Begitulah terjaganya Arissa sejak dia menemui Naqi.

Arissa seperti tidak berada di mana jasadnya berada. Semuanya seperti mod autopilot. Tau-tau Naqi sudah pun membelok masuk ke perkarangan kondo Arissa. Pelukan Naqi juga seperti yang terdahulunya — protective, sayang, kasih, manja, semuanya ada. Tiada yang lebih atau kurang. Senyuman Naqi sentiasa terpahat. Pipi dan dagu Arissa dicuit, sambil Naqi mengenyit mata.

Masa itulah, literally, Arissa terasa hatinya terdetik. Detikannya cukup kuat untuk Arissa tergamam mengamati Naqi yang sedang ralit menjawab panggilan sebelum Arissa melangkah keluar dari kereta. Sambil bercakap di talian, sebelah tangan Naqi menggenggam tangan Arissa dan saat itu, Arissa bagai terpukau melirik pada jam tangan Naqi.

7.07 malam.

+ + +

Panggilan itu. Ya, panggilan itu. Jiwanya memang sedang menunggu. Menyalak memberitahu diri inilah tiupan sangkakala itu. Air mata terus menakung walau sebelum telefon bimbit dicapai.

Skrin telefon bimbit menyala sekuat-kuatnya menyaingi bunyi deringan. Bagai sepenuh raga memanggil empunya telefon untuk menjawab panggilan.

Telefon bimbit berhenti berdering. Lampu skrin terpadam. Senyap.

Berdering lagi.

08.07 malam.

+ + +

Sekali lagi Arissa dalam mod autopilot. Tau-tau dia dah tercegat di depan pintu masuk hospital.

Hampir penuh. Terlampau ramai. Sampaikan ada yang berdiri luar dari pintu. Suram dan sugul. Bagaikan satu pengebumian orang kehormat.

Semuanya tertumpu kepada Arissa, berdiri tegak tak langsung lagi mampu mengorak langkah. Inilah Arissa. Cinta hati Naqi. Rambut lurus dan panjangnya itu sentiasa gemar disisir oleh jari-jari Naqi. Senyumnya Naqi dengan kehadiran Arissa, yang diletakkan sebagai suri di hati.

Mod autopilot terus aktif. Berhenti berfikir, berhenti menafsir.

“Dian! Arissa dah sampai!”

Dian muncul. Mukanya merah dan sembab, pipi kebasahan dan air mata bergenang di hujung bulu mata. Dahi berkerut-kerut menahan esak. Air mata Arissa serta-merta bertakung semula tapi ditahan sehingga nafas juga tidak dihela. Bibir diketap-ketap elak meraung. Jika tak dipapah, memang takkan berganjak, walau semuanya memberi ruang untuk Arissa menuju ke ICU.

“Arissa… sabar ya… Naqi masih ada… dia belum tinggalkan kita lagi.”

Sebak dada Arissa sehinggakan nafas yang selama ini dihela meluru keluar secara paksa. Paru-paru berdentum-dentam mengepam oksigen segera sampai ke otak sebelum pitam.

Dapat dibayangkan dan dimain-mainkan semula gambaran itu. Kereta yang laju datang dari arah bertentangan, berlanggar dengan sebuah motosikal dan pemboncengnya hampir saja digilis oleh lori bersebelahan. Dalam lori cuba mengelak tetapi gagal, terus menghempas pembahagi jalan dan merempuh kereta Naqi.

Dan di sini Naqi. Dikeluarkan dari celah remuk keretanya yang sudah tiada rupa. Kuasa Tuhan jantungnya masih berdegup walau badan dilumuri darah memekatkan baju melekat ke badan. Terlantar. Tiub berselirat dari muka, dada dan lengan.

+ + +

Koma.

Somehow Arissa tidak pasrah. Padanya Naqi masih hidup. Memang dia masih hidup. Walaupun tidak berbicara dengannya. Tidak menyedari kehadirannya. Tidak menggenggam kemas tangannya.

Dia janji, takkan menangis. Air mata boleh menitis, boleh diseka.

Perlu tumpu agar Naqi cepat sembuh. Luka-luka dibersihkan. Losyen disapu. Bibir dibasahkan.

+ + +

Naqi.
Ari tak sedih.
Semua kebahagiaan yang Naqi tahu telah dilimpahkan kepada Ari.
Kalau Naqi perlu pergi, Ari tak halang. Ari tau Naqi dah berjuang habis-habisan.
Tapi kalau Naqi masih mahu terus berjuang, pulanglah cepat.
Bisa kita ukir lebih banyak lagi kebahagiaan.
Naqi.
Ari tak sedih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s